Pages

Friday, September 26, 2008

Perutusan Aidilfitri.


Asslamu'alaikum wrt dan Selamat Sejahtera,

Sesi persekolahan sudah hampir ke penghujung dan tidak lama lagi kita akan bercuti panjang iaitu kira-kira 6 minggu. Semua guru sibuk buat masa ini kerana menyediakan pelajar-pelajar dengan peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Semoga keputusan peperiksaan akan sentiasa meningkat dengan harapan SMK Paya Besar tetap gemilang.

Pada kesempatan ini, saya mewakili pentadbir sekolah mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, dan memohon ampun dan maaf. Kepada guru dan staff yang balik ke kampung, berhati-hati di jalan raya dan saya doakan semua selamat sampai ke destinasi masing-masing.
Sekian. Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.
Pengetua
SMK Paya Besar
Pn Hjh Hatijah bt Abdullah

Sumbangan Raya kepada pelajar Pendidikan Khas

Pada pagi ini Jumaat, 26 September 2008,
bertempat di Bilik Pendidikan Khas,
telah diadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Raya
khas untuk pelajar-pelajar Pendidikan Khas.


Sumbangan telah disampaikan sendiri oleh
Puan Pengetua, Pn Hjh Hatijah Gan bt Abdullah.
Semua pelajar-pelajar Pendidikan Khas
kelihatan amat gembira atas pemberian hadiah tersebut.
Masing-masing pulang dengan hati yang gembira...

Wednesday, September 24, 2008

Majlis Khatam Quran dan Sumbangan Aidilfitri

Hari ini, 24 September 2008, tepat jam 9.00 pagi, bertempat di Surau Al-Hikmah
telah berlangsung Majlis Khatam Quran dan Sumbangan Aidilfitri 2008.
Majlis tahunan yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam
dan JK Kebajikan SMKPB telah mendapat sambutan yang baik dari pelajar.
Majlis dimulakan dengan membaca Al Quran beramai-ramai
yang diketuai oleh Saudara Mohd Adam dari tingkatan 6 Atas.
Pelajar-pelajar yang hadir khusuk menghayati bacaan yang diperdengarkan.

Kemudian berlangsung Majlis Sumbangan Aidil Fitri
yang dikelolakan oleh AJK Kebajikan SMKPB
kepada pelajar anak-anak yatim dan yang kurang berkemampuan.
Sumbangan dalam bentuk hamper telah disampaikan oleh
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Paya Besar, En Jusoh b Hasan.
Semoga dapat mengembirakan pelajar-pelajar untuk menyambut Aidilfitri nanti.

Guru-guru turut hadir menceriakan majlis.

Latihan Peralatan PPSMI VI 2008

Minggu ini latihan peralatan PPSMI VI 2008
berjalan seperti yang dirancang.

Kumpulan guru-guru sesi ke 2
19, 22, 23 September 2008


Kumpulan guru-guru sesi ke 3
24, 25, 26 September 2008.
Semoga ilmu yang diperolehi akan memahirkan guru-guru
dan dapat dimanafaatkan untuk mendidik anak bangsa.

Saturday, September 20, 2008

Majlis Khatam Quran dan Berbuka Puasa



Pada 19 September 2008 bersamaan 19 Ramadhan 1429H, telah berlangsung Majlis Khatam Quran dan Berbuka Puasa di Surau Al Hikmah dan Kantin SMKPB. Majlis dihadiri oleh pelajar-pelajar dan guru serta staf SMK Paya Besar. Majlis bermula jam 6.00 petang dengan Bacaan Al Quran di dalam Majlis Khatam Quran.


Kemudian Majlis Berbuka Puasa dengan kurma, kuih dan air mineral diikuti dengan Solat Maghrib berjamaah. Selesai solat, tetamu yang hadir di jamu dengan hidangan Nasi Kukus dan lauk pauk yang serba sederhana di Kantin SMK Paya Besar. Selesai menjamu selera, mereka bersolat Isya' dan Terawih bersama-sama.

Secara tidak langsung Majlis telah dapat mengeratkan ukhuwah di kalangan pelajar, guru dan staf SMK Paya Besar. Disamping merasai suasana beribadah secara jamae'. Kepada semua guru, staf dan pelajar SMK Paya Besar, rebutlah peluang 10 malam terakhir di bulan Ramadhan yang mulia ini dengan mempertingkatkan lagi amal dan ibadah kita semua.

Friday, September 19, 2008

Majlis Ilmu 20 September 2008


Tepat jam 12 tengahari, 20 September 2008, program mingguan Majlis Ilmu berjalan seperti yang di rancang. Penyampaian majlis ilmu kali ini telah di sempurnakan oleh Ketua Bidang Bahasa Pn Che Zahara bt Hj Ibrahim. Saban minggu, sambutan yang diberikan oleh pelajar amat mengalakkan lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini. Tajuk tazkirah pada minggu ini ialah Api Neraka Jahanam Tidak Pernah Padam.
Rasulullah saw terlalu sayangkan umatnya. Hal ini ternyata apabila Baginda diberitahu oleh Jibril bahawa ada umatnya yang akan masuk ke neraka pada hari Akhirat nanti. Baginda risau dan sedih serta pengsan apabila diberitahu Jibrail bahawa ada umatnya yang berdosa dan tidak sempat bertaubat atas perbuatannya bakal menjadi penghuni neraka. Begitu cintanya rasulullah saw kepada umatnya.
Diriwayatkan daripada Yazid Arraqqasyi daripada Anas bin Malik berkata, malaikat Jibril datang kepada Rasulullah saw dengan air muka yang berubah.
Kemudian Rasulullah saw bertanya, "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"
Jawabnya, "Ya Muhammad, aku datang kepadamu kerana Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka. Maka tidak layak bagi orang yang mengetahui neraka jahanam, seksa kubur dan seksa Allah itu benar untuk bersuka-suka sebelum dia berasa aman daripadanya."
Rasulullah saw kemudian bersabda: "Ya Jibril, jelaskan kepada aku bagaimana sifat neraka Jahanam?"
Jawabnya : "Ketika Allah menjadikan Jahanam, ia dinyalakan selama 1 000 tahun sehingga warnanya bertukar putih. Kemudian dinyalakan lagi sehingga 1 000 tahun sehingga warnanya hitam dan ia tidak pernah padam."
"Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, jika ia terbuka walaupun hanya sebesar lubang jarum, seluruh penduduk dunia akan terbakar kerana kepanasannya!"
"Jika baji ahli neraka digantung antara langit dan bumi, manusia di dunia akan mati kerana panasnya dan jika satu pergelangan daripada rantai yang disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, ia akan cair sehingga ke bawah bumi yang ke tujuh."
"Neraka Jahanam sangat dalam dan perhiasannya daripada besi. Minuman untuk penghuninya campuran air panas dan nanah manakala pakaian mereka diperbuat daripada potongan api. Api neraka mempunyai tujuh pintu. Setiap pintu itu pula mempunyai bahagian tertentu daripada lelaki dan perempuan."
Rasulullah saw bertanya: "Apakah pintu itu seperti pintu rumah kami?"
Jawab Jibril : "Tidak, tetapi ia selalu terbuka. Jarak setiap pintu bersamaan dengan tempoh selama 70 000 tahun dan setiap pintu itu panasnya lebih 70 kali ganda."
Rasulullah saw bertanya : "Siapakah yang duduk di setiap pintu itu?"
Jawab Jibril : "Pintu yang paling bawah untuk orang munafik, orang kafir selepas turunnya mukjizat Nabi Isa serta keluarga Firaun bernama Al-Hawiyah. Pintu kedua untuk orang musyrikin bernama Jahim. Pintu ketiga untuk orang Shobi'in bernama Saqar. Pintu keempat untuk iblis dan pengikutnya daripada kaum Majusi bernama Ladha. Pintu kelima untuk orang Yahudi bernama Huthomah dan pintu keenam untuk orang Nasara bernama Sa'eir."
Jibril kemudian terdiam sehingga Rasulullah saw bertanya : "Mengapa kau tidak beritahu siapa yang akan menduduki pntu ketujuh?"
Jawabnya : "Dalamnya adalah umatmu yang berdosa besar dan mati sebelum sempat bertaubat".
Rasulullah saw pengsan apabila mendengar jawapan Jibril itu. Jibril kemudian meletakkan kepala Rasulullah saw pada pangkuannya hingga Baginda saw sedar dan bersabda : "Ya Jibril, aku begitu risau dan sedih. Adakah akan ada seorang daripada umatku yang akan masuk neraka?"
Jawabnya: "Ya, iaitu orang yang berdosa besar daripada kalangan umatmu."
Rasulullah saw kemudian menangis, begitu juga Jibril. Baginda saw kemudian masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali pergi sembahyang.
Daripada hadis qudsi : "Tahukah kamu bagaimana neraka jahanam itu?"
Pertama, ia mempunyai tujuh tingkat di mana setiap tingkat mempunyai 70 000 daerah. Setiap daerah mempunyai 70 000 kampung dan setiap kampung pula mempunyai 70 000 rumah. Setiap rumah mempunyai 70 000 bilik manakala setiap bilik mempunyai 70 000 kotak. Bagi setiap kotak, ia mempunyai 70 000 batang pokok zarqum. Di bawah setiap pokok zarqum, ada 70 000 ular dan dalam mulut setiap ular yang panjangnya 70 hasta itu mengandungi lautan racun hitam. Di bawah setiap pokok zarqum itu juga, ia mempunyai 70 000 rantai dan setiap rantai itu diseret oleh 70 000 malaikat!
Oleh itu, marilah kita semua mengambil iktibar. Dekatkan diri kita dengan Allah swt dengan melakukan segala apa yang Allah swt perintahkan kepada kita dan menjauhi segala larangan Allah swt. Sesungguhnya ancaman Allah itu sungguh bernar dan tidak dusta. Wallahu'alam.

Majlis Semarak Ramadhan


Pada 12 hingga 13 September 2008 bersamaan 12 dan 13 Ramadhan 1429H, satu majlis telah diadakan bertujuan meng'imarahkan lagi bulan Ramadhan pada tahun ini. Majlis Semarak Ramadhan (Qiamullail) ini disertai oleh seramai lebih kurang 40 orang pelajar perempuan. Majlis tersebut diadakan di Surau Al-Hikmah, SMK Paya Besar. Majlis telah dikendalikan oleh Ustazah Hajah Siti Arija bt Abdul Rahman bersama dua orang guru GSTT iaitu Cik Khairiyah dan Cik Nur ‘Aqilah.


Majlis dimulakan dengan sesi Tadarus Al-Quran berkumpulan sebelum berbuka puasa (iftar jamaie). Solat tarawikh pula diketuai oleh suami ustazah sendiri iaitu Haji Saad bin Samsudin. Majlis tersebut berakhir dengan taklimat ringkas qiamullail pada malam itu.

Pada pagi dinihari tersebut, para peserta telah bangun seawal empat pagi untuk menunaikan solat Tahajjud, solat Taubat, solat Hajat dan bersahur. Ustazah Arija telah menyampaikan kuliah Subuh bagi para peserta menginsafi diri mereka. Tadarus Al-Quran, zikir munajat dan solat Dhuha diadakan sejurus selepas itu bagi meneruskan majlis pada hari yang indah itu.


Majlis diakhiri dengan aktiviti mengemas dan membersih surau Al-Hikmah. Sebagai intiha kepada majlis Ihya' Ramadhan ini, para pelajar telah dapat satu pembaharuan di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini yang mana hanya sebulan dalam setahun. Diharapkan lebih ramai lagi pelajar yang akan mengambil peluang untuk menyertai aktiviti seperti ini pada tahun hadapan. InsyaAllah..

Laporan disediakan oleh,
FATIN A'ISYAH BT KHAIRUDDIN
PESERTA MAJLIS SEMARAK RAMADHAN 1429H

Thursday, September 18, 2008

Projek Rintis Interactive Evaluation System (IES)


SMK Paya Besar ialah dipilih diantara 150 buah sekolah terpilih seluruh Malaysia yang akan melaksanakan Projek Rintis Interactive Evaluation System (IES) tahun 2008. Untuk tujuan tersebut, Pengetua SMK Paya Besar, Pn Hjh Hatijah Gan bt Abdullah, bersama dengan Penyelaras Projek, En Mohamed Amran b Mahusin dan Penyelaras ICT, Pn Sh Faridah Hanim bt Tg Embong telah telah ke Putrajaya pada 16 September 2008 untuk menghadiri Taklimat Pelaksanaan Projek Rintis IES. Taklimat yang berkaitan telah di sampaikan oleh Ketua Bidang Teknologi Maklumat dan Kommunikasi, Tn Hj Sofian Azmi b Tajul Arus dan Ketua Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Dr Hajar bt Mohd. Nor dari Bahagian Pembangunan Kurikulum Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan KPM.



Sistem IES merupakan satu sistem yang dapat menambahbaikkan satu lagi elemen penting dalam P&P iaitu meningkatkan lagi keberkesanan aktiviti penilaian formatif dalam bilik darjah melalui sistem pentaksiran berasaskan sekolah dalam konteks menilai semula sistem pentaksiran dan penilaian di sekolah agar tidak berorientasikan peperiksaan seperti mana yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

Penambahbaikkan ini juga dilihat sebagai satu usaha penting dalam merintis pelaksanaan pembestarian sekolah dan seterusnya menjadikan hasrat kerajaan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama pendidikan negara.

Monday, September 15, 2008

Latihan Pengendalian Peralatan ICT PPSMI Fasa VI


Bermula dari 15 September 2008, Makmal ICT SMK Paya Besar telah menjadi pusat Latihan Pengendalian Perlatan ICT Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Fasa VI. 3 hari latihan ini melibatkan 3 Fasa dan berterusan sehingga 26 September 2008. Latihan di bawah anjuran Jabatan Pelajaran Pahang ini melibatkan guru-guru Matematik dan Sains sekolah rendah dan menengah di sekitar daerah Kuantan yang mendapat bekalan peralatan komputer di bawah Program PPSMI Fasa VI. Antara lain latihan ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran guru-guru mengendalikan peralatan komputer tersebut.


Justeru itu di atas kesempatan ini pihak sekolah mengalu-alukan kedatangan semua guru-guru yang terlibat. Selamat menjalani latihan dengan jayanya...

Wednesday, September 10, 2008

Peperiksaan Percubaan SPM 2008


Seluruh warga sekolah mengucapkan selamat menghadapi Peperiksaan Percubaan SPM 2008 untuk calon-calon SPM 2008. Insya'allah anda semua dapat menjawab dengan jaya. Teruskan usaha dan berdoa. Selamat Maju Jaya. SMKPB Boleh !!!

Monday, September 8, 2008

Selamat Maju Jaya calon-calon STPM 2008

Hari ini calon-calon STPM 2008 menghadapi Peperiksaan Percubaan STPM 2008. Seluruh warga SMK Paya Besar mengucapkan Selamat Maju Jaya buat anda semua. Kami doakan anda dapat mengekalkan prestasi kecemerlangan sekolah. SMKPB Boleh !!!

Friday, September 5, 2008

Majlis Ilmu 5 September 2008


Tepat jam 12 tengahari majlis ilmu untuk
pelajar-pelajar perempuan berjalan seperti yang di rancang.
Majlis telah dikendalikan oleh Ustazah Hjh Siti Arija Abdul Rahman.
Untuk majlis kali ini, pelajar ditayangkan dengan
tayangan video yang memaparkan cerita
untuk pelajar bermuhasabah dengan diri senidiri.
Kemudian diselangi dengan Soalan Kuiz dan
Cabutan Bertuah. Pelajar pulang dengan cenderahati...

Seminar Teknik Menjawab SPM Tasawur Islam.

Pada hari Jumaat, 5 September 2008,jam 10.00 pagi bertempat di Bilik Gerakan Siti Khadijah telah diadakan Seminar Teknik Menjawab SPM bagi mata pelajaran Tasawwur Islam. Seminar telah di hadiri oleh semua calon-calon SPM yang telibat dari kelas 5 Budiman dan 5 Cemerlang.
Penceramahnya ialah En Che Wan Rosli b Khalid dari SMK Tengku Afzan, Kuantan.
Barisan pemuda harapan bangsa...
Barisan pemudi tiang negara....
Walau apa pun Selamat Maju Jaya untuk SPM 2008.
Moga anda semua cemerlang!!

Wednesday, September 3, 2008

Pertandingan Melaungkan Azan

Jam 3.oo petang bertempat di Surau Al-Hikmah telah diadakan Pertandingan Melaungkan Azan di kalangan pelajar-pelajar lelaki. Pertandingan bersempena dengan Minggu Kemanusiaan 2008.

Mereka telah diadili oleh Ustazah Hjh Normah, Ustazah Hjh Siti Arija dan Ustaz Mohd Jamali. Sambutan pelajar amat baik sekalikan.

Bakal-bakal muazin memperdengarkan azan masing-masing.