Pages

Friday, May 30, 2008

AKTIVITI MEI

SAMBUTAN HARI GURU 2008
Perarakan perbarisan masuk guru-guru sekolah kedalam dewan Multaqa bermula pada pukul 8.00 pagi. Majlis diteruskan dengan ucapan perutusan dan diteruskan dengan nyanyian oleh guru sekolah yang bertajuk"Kami Guru Malaysia". Acara dimeriahkan dengan acara pemotongan kek bersempena denagn Hari Guru.Majlis dirancakkan lagi dengan acara penyampaian hadiah kepada guru kemudian diteruskan dengan persembahan oleh pelajar sekolah.Selepas tamat persembahan, aktiviti sukantara dimulakan. Majlis tamat pada pukul 12.00 tengah hari.

AKTIVITI APRIL

CERAMAH KESIHATAN PERGIGIAN-23 APRIL
Ceramah disampaikan oleh doktor gigi dari Jabatan Pergigian Jalan Gambut untuk menerangkan mengenai pelbagai jenis penyakit yang berkaitan dengan permasalahan gigi serta kesannya terhadap diri sendiri. Ceramah bermula pada jam 8.30 pagi sehingga jam 9.30 dan diadakan didewan Multaqa.
HARI ANUGERAH SEKOLAH 2007
Majlis diadakan pada 20 April 2008 yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Shafik b. Shrif yng merupakan SMP Ahli Undangan Negeri, Inderapura. Anugerah merangkumi anugerah untuk pelajar yang cemerlang dari segi kurikulum dan kokurikulum. Pelajar terbaik PMR bagi tahun 2007 dianugerahkan kepada Ahmad Solihin b. Mohd Amin, manakala pelajar SMP pula ialah Nur Syairah bt Ramli. Pelajar cemerlang STPM pula ialah Asnarita bt Tarmizi yang juga merupakan salah seorang pelajar terbaik STPM peringkat kebangsaan.
KARNIVAL PENDIDIKAN ISLAM
Karnival ini diadakan pada 9 April yang merangkumi pelbagai aktiviti yang melibatkan sekolah-sekolah daerah Kuantan. Antara aktiviti yang diadakan ialah pertandingan nasyid, kuiz agama, tilawah al-Quran, hafazan, syarahan agama dan syarahan bahasa arab. Aktiviti diadakan disekitar kawasan sekolah.

AKTIVITI MAC


KEJOHANAN OLAHRAGA


SMK PAYA BESAR, 29 Mac 2008. Seperti tahun-tahun sebelumnya, bulan Februari dan Mac adalah bulan yang penuh dengan warna-warni sukan.Disamping mengikuti latihan untuk menghadapi sukantara, pelajar-pelajar juga saling bertungkus-lumus untuk mengumpul mata bagi rumah masing-masing. Juara 2008 disandang oleh rumah biru dan disusuli rumah hijau,kuning,dan merah.


PROGRAM SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah diadakan pada 19 Mac di Dewan Multaqa. Program bermula dengan perarakan para pelajar dan guru bermula dari tapak perhimpunan hingga ke dewan sambil berselawat keatas Nabi. Program diteruskan dengan ceramah bersempena dengan Maulidur Rasul.

AKTIVITI FEBRUARI

NADWAH KEPIMPINAN PENGAWAS
Majlis diadakan pada 23 Februari 2008 di Hotel Shahzan Inn.Lebih kurang seramai 70 orang pengawas mengikuti kursus ini.Walaupun kursus diadakan hanya sehari, namun banyak perkara yang dapat dimanfaatkan melaluinya.Aktiviti yang diadakan cukup berkesan dan memberi kesan positif dalam membentuk keperibadian dan kepimpinan dikalangan pengawas.

KEM KEPIMPINAN PELAJAR

Kem kepimpinan ini menggabungkan pelajar dari Badan Pengawas Pusat Sumber, ahli Koperator,dan juga Ketua dan Penolong Ketua Kelas.Kem kepimpinan ini diadakan pada 16 hingga 17 Februari 2008.Pelbagai aktiviti menarik diadakan untuk memupuk rasa kepimpinan dan meningkatkan keyakinan diri.Aktiviti yang diadakan penuh dengan pengisian yang tersendiri selain mampu memupuk semangat kerjasama.

PELANCARAN GELOMBANG NILAM

Pelancaran dirasmikan oleh Pengetua Sekolah, Puan Hajjah Khatijah Gan Binti Abdullah pada hari Rabu bersamaan 13 Februari 2008.Pelancaran diadakan dengan persembahan daripada pelajar yang membuat resensi buku yang sudah dibaca kepada yang lain. Anugerah turut diberikan kepada pelajar yang mencapai tahap nilam.

MERENTAS DESA

Acara diadakan pada hari Sabtu, 2 Februari 2008. Sebelum hari sebenar merentas desa menjelang, latihan merentas desa telah diadakan mengikut rumah sukan. Acara larian meliputi kawasan sekitar Taman Guru. Pelajar dikehendaki menghabiskan larian sejauh 5km dan pemenangnya dikategorikan mengikut gred A,B dan C.



AKTIVITI JANUARI

MESYUARAT AGUNG KOKURIKULUM

Mesyuarat diadakan pada 16 Januari bermula pada jam 3.00 petang. Mesyuarat diadakan untuk pelajar mendaftarkan diri ke kelab-kelab, sukan dan permainan serta unit beruniform. Mesyuarat diadakan untuk menggubal struktur organisasi setiap unit beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. selain itu, setiap perancangan aktiviti tahunan sepanjang tahun juga digubal.



HARI ORIENTASI PELAJAR TINGKATAN SATU-2008


Pelajar tingkatan satu didedahkan mengenai sekolah. Hari orientasi diadakan selama tiga hari. Pelajar tingkatan satu ini diketuai programnya oleh pelajar tingkatan enam serta guru kaunseling sekolah. Mereka mengisi slot orientasi mereka dengan mempelajari lagu sekolah serta pangenalan terhadap sekolah. Hari orientasi ini diadakan didewan terbuka sekolah bermula pada hari pertama persekolahan.


Thursday, May 29, 2008

BENDERA SEKOLAH

HURAIAN PENGERTIAN BENDERA SEKOLAH

1. Kuning : Melambangkan taat setia kepada Negara pemerintahan yang berdaulat, ibu bapa, guru dan mereka yang sepatutnya ditaati.

2. Biru : Melambangkan perpaduan antara kakitangan sekolah dengan kakitangan sekolah, pelajar dengan pelajar, kakitangan sekolah dengan pelajar, tidak mengira agama dan keturunan.

3. Merah bermakna masa hadapan yang cerah dan berjaya bagi generasi pelajar.

4. Walaupun warna Hijau tidak diwujudkan, akan tetapi paduan warna kuning dengan biru akan mewujudkan warna hijau yang boleh diistilahkan sebagai ”Islam” agama rasmi Negara

5. Empat warna teras ini : kuning, merah, biru dan hijau ialah warna 4 rumah sukan di sekolah ini yang menandakan suburnya kegiatan kokurikulum di sekolah ini.

SURAU SEKOLAH


Sejarah Penubuhan Surau Al-Hikma SMK Paya Besar

Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, Kuantan (SMKPB) telah berusaha menubuhkan sebuah surau bagi menampung keperluan tempat ibadat para pelajar. Hal ini memandangkan sekolah pada masa itu dijalankan secara dua sesi. Melalui inisiatif sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM 8,000.00 Kerja-kerja membina surau dilaksanakan secara bergotong royong dan memberi upahan kepada penduduk setempat. Kerja pembinaan ini bermula pada tahun 1986.

Surau yang diberi nama Surau Al-Hikmah ini dibina pada tahun 1986 telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, SAMP., SSAP., DSAP., (Timbalan Perdana Menteri) pada 26 Mac 1989 bersamaan 19 Syaaban 1409H. Pada awalnya surau Al-Hikmah dibina dengan separuh papan dan separuh batu. Kemudian telah diperbesarkan sekali lagi untuk keselesaan warga SMKPB, disamping menjalankan aktiviti keagamaan yang lain. Walaupun melalui proses masa, surau ini mula menampakkan keuzurannya apabila atapnya mulai bocor, dindingnya mula retak dan papan dimakan anai-anai. Memandangkan keadaan ini, naik taraf surau amat diperlukan agar kewujudan surau itu sama tarafnya dengan kewujudan prasarana lain yang gah kelihatan di sekolah ini.

SMKPB merasa kewajarannya menaiktarafkan surau ini sesuai dengan peredaran masa, pertambahan pelajar dan warga pendidik, selaras dengan konsep mendaulatkan agama dan memberi prioriti terhadap rumah ibadat agama rasmi negara kita.

Pada akhir tahun 2006 maka tersergamlah surau Al-Hikmah dengan pembiayaan dan sumbangan orang ramai dan pihak-pihak berwajib.

LAGU SEKOLAH

Kesungguhan menuntut ilmu
Harmoni sesama insan
Itu harapan suci, cita menggunung tinggi
Insan yang terpuji

Kecermerlangan pendidikan
Berilmu, Beramal, Berbakti
Rukun Negara kita kemuncak cita jaya
Bergema di angkasa raya

Tiga warna bersatu
Biru teguh berpadu
Merah kea rah maju dan jaya
Kuning taat setia

Kecemerlangan kemajuan
Berilmu, Beramal, Berbakti
Penuh azam dan cita, bersemangat waja
Pendidikan sempurna - 2X

LOGO SEKOLAH


Huraian Pengertian Lambang Pada Logo

1. Bentuk perisai memberi maksud ketabahan sekolah dalam mempertahankan ciri-ciri kekuatan identitinya seperti pencapaian tahap akademik dan kokurikulum, bina insan serta bidang-bidang lain yang tertentu.

2. Tiga warna iaitu warna kuning, biru dan merah membawa maksud yang tersendiri. Kuning melambangkan kesetiaan, Biru adalah perpaduan manakala Merah merujuk kepada masa hadapan yang cemerlang.

3. Dua tangan yang menadah adalah untuk memohon rahmat daripada Ilahi.

4. Buku pula melambangkan kepentingan ilmu dalam kehidupan.

5. Roda ditengah-tengah logo mempamerkan sebuah institusi Pendidikan, sekolah tidak boleh memisahkan dirinya daripada perkembangan teknologi moden.

6. Lima gigi pada roda pula adalah sejajar dengan ikrar pelajar yang menjadi teras pelajaran dan pembelajaran.

7. Warna hitam dan putih yang terdapat dalam logo menandakan kedudukan sekolah yang terletak dalam negeri Pahang Darul Makmur.

8. Perkataan ‘Berilmu, Beramal, Berbakti’ menjadi tunjang utama dalam mencapai matlamat para pelajar.

TENAGA PENGAJAR SMKPB


Barisan Pentadbir Sekolah.

Pengetua SMK Paya Besar :
Datin Hjh Ezizah Hj Hashim, AMP

GPK Pentadbiran : En Hasbullah b Abdul Latif 

GPK Kokurikulum : En Ahmad Rahimee b Yusoff

GPK HEM : En Mohammad b Che Ibrahim
GPK Prauniversiti : Pn Roslina bt Shahri

GPK Pendidikan Khas : Pn Zalina Zainal Abidin

Guru-guru Bidang Matematik & Sains

Guru-guru Bidang Kemanusiaan

Guru-guru Bidang Teknik & Vokasional

 Guru Bidang Bahasa

Guru-guru SMK Paya Besar

(Klik pada gambar untuk saiz yang lebih besar)

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar adalah sebuah sekolah luar bandar dalam daerah Kuantan. Ia terletak 7 kilometer dari bandar Kuantan, Pahang, ditapak seluas 8 ekar. Nama sekolah ini diambil sempena nama tempat iaitu Paya Besar. Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, telah dibuka secara rasmi pada 16 November 1982. Pengetuanya yang pertama ialah En. Nordin b Omar dan Penolong Kanannya ialah En. Chong Hui Sheong.

Sesi persekolahan bermula pada 3 Januari 1983. Pada ketika itu, hanya terdapat 11 orang tenaga pengajar dan pelajarnya pula seramai 143 orang. Sekolah ini mula beropersi dengan hanya menggunakan kemudahan sebuah bangunan 3 tingkat (Blok A), pejabat sekolah, sembilan buah kelas dan lain-lain bilik. Lima buah kelas tingkatan satu dan sebuah kelas peralihan dibuka, yang menempatkan 32 orang pelajar setiap kelas.

Serentak dengan itu, Jemaah Pengelola telah ditubuhkan dengan tujuan untuk menyenggara hal-ehwal sekolah. Jemaah ini dipengerusikan oleh Tuan Haji Husin bin Ismail dan Naib Pengerusinya pula adalah Encik Siew Hock.

Pada tahun 1984, jumlah pelajar telah meningkat seramai 430 orang. Sehubungan itu, jumlah tenaga pengajar juga turut bertambah kepada 21 orang. Jumlah kelas juga bertambah menjadi 13 buah kesemuanya.

Pada 17 Mac 1984, PIBG ditubuhkan untuk bersama-sama pihak sekolah membantu meningkatkan pencapaian akademik, tahap disiplin pelajar dan menaikkan imej sekolah dikalangan masyarakat setempat, Jabatan Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri. Yang Dipertua PIBG ketika itu ialah Encik Omar bin Bakar dan Encik Abdul Latif bin Mohammad Isa pula selaku Naib Yang Dipertuanya.

Pada tahun 1985 pula, bilangan pelajar terus meningkat menjadi 680 orang. Pertambahan ini menyebabkan keperluan bilik kelas tidak mencukupi. Bagi mengatasi masalah ini sekolah dua sesi dibuka, iaitu sesi pagi dan sesi petang. Pertambahan bilangan pelajar, bermakna bilangan tenaga pengajar turut bertambah menjadi jumlahnya seramai 37 orang, itu 33 orang guru tetap dan 4 orang guru sandaran. Sementara itu, pengetua pertama telah bertukar dan diganti oleh pengetua baru iaitu Encik Shamsudin bin Abu Bakar.

Memandangkan keperluan kelas semakin mendesak, sebuah bangunan satu tingkat (Blok B) yang terdiri daripada tiga buah kelas dibina secara gotong royong pada tahun 1986. Pada tahun 1989 sebuah bangunan (Blok C) yang terdiri daripada 8 bilik kelas siap dibina. Sehingga tahun 1991 sekolah ini terdapat tiga blok bangunan iaitu Blok A, Blok B dan Blok C dengan kemudahan 19 bilik kelas, sebuah Bilik Lukisan, sebuah Bilik Pusat Sumber, sebuah Bilik Masakan, sebuah Bilik Jahitan, dua Makmal Am, sebuah Bilik Guru, sebuah Koperasi Sekolah, sebuah Bilik Komputer, sebuah Bilik Kaunseling, Kantin Sekolah, Surau dan Bengkel Kemahiran Hidup. Kesemua kemudahan ini untuk menampung keperluan dan kemudahan 1267 orang pelajar dengan dibantu oleh 62 guru.

Pada tahun 1993 dua buah bangunan baru (Blok D dan Blok E) siap dibina dengan kemudahan tiga buah bilik Makmal Sains Tulen, sebuah bengkel Kemahiran Hidup dan 20 buah kelas. Kemudahan fizikal sekolah ini berjaya memberi kemudahan dan keselesaan kepada 1661 orang pelajar.

Selain daripada kelas biasa dan pelajar normal, sekolah ini juga memberi peluang kepada pelajar istimewa untuk menimba ilmu. Kelas Pendidikan Khas Bermasalah Pelajaran (PKBP) telah dibuka pada 4 Januari 1999 dengan bilangan pelajar seramai 6 orang di bawah bimbingan 2 orang guru. Mereka ini dalam kategori lembam, down sindrown dan pelajar inklusif. Pada tahun 2008, jumlah pelajarnya seramai 24 orang dengan guru seramai 6 orang.

Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar telah berubah dari sebuah sekolah kerdil dalam aspek kemudahan asas, bilangan pelajar dan guru serta pencapaian-pencapaiannya kepada sebuah sekolah yang hebat dan terbaik di daerah Kuantan dan negeri Pahang amnya.


SENARAI PENGETUA SMK PAYA BESAR

BIL NAMA TEMPOH
1. En. Nordin b. Omar 16.11.1982 – 31.12.1984
2. En. Shamsudin b. Abu Bakar 1.1.1985 – 31.12.1987
3. Tn. Hj. Abu Mansur b. M. Yusof 16.10.1987 – 20.6.1991
4. Tn. Hj. Abdullah b. Abd Kadir 16.11.1991 – 16.10.1992
5. Tn. Hj. Muhammad b. Musa 1.6.1993 – 19.7.1999
6. En. Amiruddin b. Hj. Abdullah 25.7.1999 – 31.12.2003
7. Pn. Hjh. Meriam bt. Hj. Samah 1.3.2004 – 6.4.2005
8. Pn. Hjh. Rosnah bt Mohd Tawi 1.7.2005 – 13.4.2006
9. Pn. Hjh. Hatijah Gan bt Abdullah 16.4.2006 - 31.12.2009
10. Tn. Hj. Karim b Man 1.1.2010 - 25.7.2010
11. En. Nandakumaran A/L Kathrvaloo 1.9.2010 - sekarang

VISI DAN MISI

VISI SMK PAYA BESAR

Menjadikan SMK Paya Besar antara lima sekolah harian yang terbaik daerah Kuantan menjelang 2013.

MISI SMK PAYA BESAR
 
Membangunkan potensi individu secara holistik untuk mencapai pendidikan berkualiti dalam persekitaran sekolah yang kondusif melalui jalinan dan jaringan yang efektif.



Thursday, May 1, 2008

BLOG SMK PAYA BESAR

Salam sejahtera.
Alhamdulillah, tercipta juga blog SMK Paya Besar yang dirasmikan oleh Pn. Hajjah Hatijah Gan bt Abdullah, Pengetua SMK Paya Besar sempena Minggu Sains & Matematik 2008. Blog ini akan memuatkan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di SMK Paya Besar. Juga sebagai satu wadah perhubungan buat ibu bapa, penjaga, guru, kakitangan sekolah, pelajar serta bekas pelajar sekolah SMK Paya Besar yang ingin mendapat informasi terkini sekolah. Walau pun 'simple' ini lah kemampuan yang ada pada kami ahli-ahli Kelab Komputer SMKPB. Semoga usaha yang sedikit ini akan dapat diteruskan dan mendapat sokongan dari anda semua. Selamat membaca.