Sejarah Penubuhan Surau Al-Hikma SMK Paya Besar
Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, Kuantan (SMKPB) telah berusaha menubuhkan sebuah surau bagi menampung keperluan tempat ibadat para pelajar. Hal ini memandangkan sekolah pada masa itu dijalankan secara dua sesi. Melalui inisiatif sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM 8,000.00 Kerja-kerja membina surau dilaksanakan secara bergotong royong dan memberi upahan kepada penduduk setempat. Kerja pembinaan ini bermula pada tahun 1986.
Surau yang diberi nama Surau Al-Hikmah ini dibina pada tahun 1986 telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, SAMP., SSAP., DSAP., (Timbalan Perdana Menteri) pada 26 Mac 1989 bersamaan 19 Syaaban 1409H. Pada awalnya surau Al-Hikmah dibina dengan separuh papan dan separuh batu. Kemudian telah diperbesarkan sekali lagi untuk keselesaan warga SMKPB, disamping menjalankan aktiviti keagamaan yang lain. Walaupun melalui proses masa, surau ini mula menampakkan keuzurannya apabila atapnya mulai bocor, dindingnya mula retak dan papan dimakan anai-anai. Memandangkan keadaan ini, naik taraf surau amat diperlukan agar kewujudan surau itu sama tarafnya dengan kewujudan prasarana lain yang gah kelihatan di sekolah ini.
SMKPB merasa kewajarannya menaiktarafkan surau ini sesuai dengan peredaran masa, pertambahan pelajar dan warga pendidik, selaras dengan konsep mendaulatkan agama dan memberi prioriti terhadap rumah ibadat agama rasmi negara kita.
Pada akhir tahun 2006 maka tersergamlah surau Al-Hikmah dengan pembiayaan dan sumbangan orang ramai dan pihak-pihak berwajib.
No comments:
Post a Comment