Assalamu'alaikum & Selamat Sejahtera
kepada semua warga SMK Paya Besar, Kuantan.
Bersyukur kita kehadrat Illahi kerana dipanjangkan umur untuk sama-sama menghadapi tahun 2010 yang lebih mencabar lagi. Semoga tahun 2010 lebih baik daripada tahun 2009 dan apa yang telah dilakukan semoga mendapat keberkatan dari Allah swt.
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru dan diharap semua akan bekerja dengan penuh iltizam dan memberi komitmen yang padu kepada sekolah. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua guru yang mengajar tingkatan 1 hingga tingkatan 3 kerana keputusan PMR 2009 telah menunjukkan peningkatan. Kita telah berjaya memperoleh 70.14% (MSMP) berbanding 67.16% pada tahun 2008 - meningkat 3.59%. Begitu juga GPS. Tahun 2009 ini kita mendapat 2.60 berbanding 2.75 pada tahun 2008 - meningkat 0.15. Pencapaian ini tidak akan dapat digenggam tanpa usaha gigih semua guru yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pelajar-pelajar tingkatan 3.
Saya berharap semua guru tidak akan berasa jemu untuk mendidik anak-anak murid supaya menjadi pelajar yang holistik untuk pembangunan negara pada masa hadapan. Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri - Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) untuk meletakkan Sistem Pendidikan Negara setara dengan Piawaian Global dan melahirkan Modal Insan Berminda Kelas Pertama. Berdasarkan dokumen berkenaan, semua guru mesti memiliki 3 aspek amalan nilai iaitu :
i) profesionalisme keguruan,
ii) pengetahuan,
iii) kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.
Amalan nilai profesionalisme keguruan meliputi 3 domain utama iaitu diri, profesion dan sosial. Domain diri merujuk pegangan nilai guru seperti amanah, ikhlas, adil, daya saing dan tahan yang tinggi, dan cekap. Profesion merujuk pada pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus, berketerampilan, integriti, kerja sepasukan dan proaktif. Domain sosial, guru sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat merangkumi semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.
Kerajaan juga telah melancarkan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) sebagari transformasi berasaskan pendekatan dan falsafah 1Malaysia iaitu "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan." 6 NKRA ialah :
i) Meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan (diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin).
ii) Mengurangkan kadar jenayah (Datuk Seri Hishamuddin Hussein).
iii) Memerangi rasuah (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz).
iv) Meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah (Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil).
v) Memperkasakan prasarana luar bandar dan pendalaman (Datuk Seri Shafie Apdal)
vi) Menambah baik pengangkutan awam (Datuk Ong Tee Keat).
Akhir kata, Selamat Menyambut Tahun 2010 dengan azam yang baru untuk melonjakkan kecemerlangan SMK Paya Besar sebagai sekolah harian yang gemilang di daerah Kuantan.
Sekian, terima kasih.
Hjh Hatijah Gan bt Abdullah, AAP.
Pengetua Cemerlang
SMK Paya Besar, Kuantan.
No comments:
Post a Comment