27 Mac 2009 oleh gentarasa
Sering kita dikejutkan dengan isu pelajar yang cemerlang pencapaian kademiknya tetapi terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat misalnya, gengsterisme, pergaulan bebas dan lain-lain. Soalnya, di manakah silapnya kita? Sejauhmanakah kecemerlangan dalam bidang akademik mampu menjamin pembinaan generasi remaja yang berakhlak?
Apa yang berlaku dalam kehidupan kita, samada baik atau buruk merupakan ‘didikan’ tersirat dari Tuhan. Maksudnya, ada sesuatu yang perlu kita fahami, hayati dan sedari di sebalik setiap sesuatu justeru sesuatu yang terjadi tidak sia-sia. Ertinya, setiap peristiwa ada tujuan, dan kita sebagai hamba-Nya perlu mencari apakah tujuan di sebalik setiap kejadian, peristiwa dan perkembangan. Sehubungan dengan itu, saya rasa kita perlu bermuhasabah semula tentang matlamat, pendekatan dan pelaksanaan pendidikan kita.
Tidak kiralah kita sebagai ibu-bapa, guru-guru atau orang yang dipertanggung-jawabkan dalam institusi pendidikan. Bagaimana falsafahnya? Bagaimana pelaksanaannya? Mungkin dari segi falsafahnya sudah tepat, tetapi kurang berkesan apabila dilaksanakan. Atau boleh jadi di peringkat falsafah pun sudah punya kelemahan… Maka seharusnya sama-sama kita bertindak membetulkannya.
Ya, kita ingin melahirkan insan yang seimbang menerusi sistem pendidikan kita. Yakni insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, begitu juga cemerlang dari segi rohaninya. Sekiranya ada pelajar yang cemerlang dalam akademik, tetapi rosak akhlaknya maka itu bererti kita gagal melahirkan insan yang seimbang. Tentu dia akan pincang dalam menghadapi cabaran dalam hidupnya kelak. Walaupun mungkin bilangan pelajar-pelajar yang rosak akhlak ini masih sedikit, namun kita seharusnya merasa bimbang kerana bilangan yang sedikit itu semakin bertambah… Dan tentu sahaja itu satu masalah besar khususnya kepada ibu-bapa anak-anak yang malang itu!
Kecemerlangan akademik semata tidak dapat jamin seseorang itu dapat melayari hidupnya dengan baik. Katakanlah dia dapat pekerjaan yang baik, tapi apabila tidak jujur dia mungkin menipu, rasuah dan akhirnya terjebak dalam ‘white colar crime’. Kita pun sudah sedia maklum betapa kadar rasuah dikalangan kakitangan kerajaan juga turut membimbangkan. Tambahan pula, kejahatan yang dilakukan oleh orang yang bijak lebih memusnahkan berbanding dengan kejahatan oleh orang-orang yang bodoh. Mahukah kita sekolah-sekolah elit kita bakal melahirkan penjenayah yang profesional?
Kecemerlangan akademik dan akhlak boleh dicapai secara bersepadu. Maksudnya, para pelajar boleh mencapai kecemerlangan secara bersepadu. Maksudnya pelajar-pelajar yang betul-betul menjaga akhlaknya sangat berpotensi untuk menjadi pelajar yang cemerlang akademiknya. Bila dikatakan menjaga akhlak, dia tentu berakhlak dengan Allah dan manusia. Berakhlak dengan Allah misalnya, memiliki rasa syukur, sabar, redha dan lain-lain. Dengan rasa itu para pelajar tersebut tentulah menjaga solatnya. Hasil mengerjakan solat jiwanya akan tenang, dan dengan ketenangan itu dia dapat menjaga hubungannya dengan kawan-kawan, guru dan ibu-bapa dengan baik.
Apabila suasana hubungan dengan orang lain baik maka mudahlah ia mentelaah pelajaran. Dia tidak bermasalah dengan guru, ibu-bapa dan kawan-kawan. Bahkan bila akhlak baik, ibu bapa akan mendoakan, guru-guru akan membantu, rakan-rakan akan berkerjasama. Doa ibu bapa sangat mustajab. Bila guru- guru sudah sayang, maka mudahlah mereka memberi tunjuk ajar. Kawan-kawan yang baik akan mudah diajak untuk diajak berbincang dan membentuk ‘group disscussion’ dan sebagainya. Tegasnya, akhlak yang baik secara lansung akan membentuk suasana yang kondusif untuk para pelajar mencapai kecemerlangan akademik.
Setiap sekolah memang bercita-cita melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan akhlak. Malangnya, kekadang motto seperti ‘ke arah melahirkan pelajar bestari dan berdedikasi’ hanya tinggal slogan. Mengapa? Perlu diingat, bahawa memberi pelajaran dan pendidikan adalah dua perkara berbeza. Mungkin pelajar-pelajar berjaya menimba pelajaran. Memberi pelajaran melibatkan proses menyampaikan ilmu. Tetapi mendidik adalah satu perkara yang lain. Kekadang proses pembelajaran tercapai tetapi proses pendidikan agak terabai. Pencapaian pelajaran boleh diukur menerusi prestasi dalam peperiksaan tetapi kejayaan pendidikan jauh lebih kompleks dan abstraks.
Ukuran sampai atau tidak proses pendidikan itu ialah melalui tahap akhlak seseorang pelajar. Bagaimana hendak mengukurnya? Oleh itu para guru dan ibu-bapa yang merupakan pendidik dalam ‘institusi’ pendidikan yang bernama sekolah dan rumahtangga harus sama-sama bermuhasabah. Misalnya, apakah pelajar-pelajar mereka hanya mendapat pelajaran atau pada masa yang sama turut juga mendapat pendidikan? Jika sekolah hanya sekadar gelanggang menimba ilmu, ya pencapaian kita sangat membanggakan. Pencapaian akademik dalam UPSR, SPM, STPM nampaknya semakin meningkat. Namun bagaimana sekolah sebagai tempat menimba asuhan, tunjuk ajar yang baik dan didikan akhlak? Ini satu tugas yang bukan sahaja lebih mencabar, tetapi juga lebih utama. Nampaknya, guru dan ibu-bapa perlu menjalankan dua peranan sekaligus – yakni sebagai murabbi (pendidik) dan juga mualim (pengajar).
Kita tinjau dulu peranan murrabi. Kenapa guru dan ibu-bapa mesti berperanan sebagai murrabi tidak sekadar muallim? Ini kerana peranan murrabi berfokuskan pendidikan manakala muallim berfokuskan pengajaran. Ramai orang tersilap, mengatakan bahawa murrabi dan muallim itu sama… Jika kita sudah ada muallim, maka dengan sendirinya kita sudah ada pendidik. Banyak bezanya antara murrabi dengan muallim. Muallim ialah individu yang berperanan menyampaikan ilmu kepada anak muridnya. Dia mengajar ilmu-ilmu tertentu samada yang berbentuk agama (fardu ain) ataupun akdameki (fardhu kifayah) kepada muridnya.
Matlamat utama pengajar ialah agar ilmu yang diberikan itu dapat difahami dan ‘dituang’ semula semasa peperiksaan. Ertinya, berlaku perpindahan ilmu dari akal ke akal – yakni dari akal muallim kepada akal murid dan akhirnya murid meluahkan semula ilmu itu di atas kertas peperiksaan. Murrabi lebih dari itu. Justeru murrabi berperanan mendidik jiwa muridnya. Supaya jiwa muridnya terkesan oleh ilmu yang diberikan. Ilmu itu kemudiannya dihayati, diyakini dan kemudiannya dimalakan dalam kehidupan.
Tegasnya, tugas murrabi lebih ‘advance’ daripada muallim kerana ia memastikan sesuatu ilmu itu dihayati sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak muridnya. Jika tugas muallim banyak berlegar ‘di akal’ tetapi tugas murrabi pula adalah ‘di hati’ murid-muridnya. Bandingannya, muallim adalah seperti orang yang bertugas mengumpulkan bahan-bahan masakan – katalah tepung, gula, mentega, garam, gula dan air. Manakala murrabi pula adalah umpama tukang masak yang mahir mengadun dan membancuh tepung, menguli, membakarnya hingga menjadi seketul roti. Jadi bukankah tugas murrabi tugas yang lebih mencabar?
Murrabi memastikan dalam jiwa anak muridnya timbul kemahuan sedangkan muallim hanya berperanan supaya timbul pengetahuan. Kekuatan ‘kemahuan’ sebenarnya mengatasi ‘pengetahuan’. Katalah murid telah diajar tentang sifat-sifat sabar, dia tahu apa cirinya, apa kategori sabar, apa unsur-unsur yang membawa kepada sifat sabar… Tetapi hanya dengan itu mampukah ia bersabar apabila berdepan dengan sesuatu yang mencabar kesabarannya? Maaf, kadangkala orang yang ada Phd. dalam bidang akhlak atau tasawwuf pun tak sabar bila berdepan dengan realiti kehidupan. Tugas ini adalah tugas murrabi, justeru dia ada kemampuan untuk memastikan ilmu yang ada itu dapat diamalkan.
Cabaran utama dalam sistem pendidikan secara umumnya ialah kadangkala kita mampu memberi ilmu sebanyak-banyaknya, tetapi gagal dalam memberi didikan setepat-tepatnya. Akibatnya produk sistem pendidikan tidak seimbang. Ada yang cemerlang akademik, tetapi akhlaknya kurang baik. Ini bukan sesuatu yang janggal justeru baru-baru ini kita dengan isu tentang ujudnya pengedar-pengedar dadah di kalangan pelajar universiti dan juga masalah kelahiran bayi luar nikah dikalangan siswa-siswi.
Yang penting sekarang ialah bagaimana melahirkan ramai murrabi… bukan sekadar muallim dalam masyarakat kita. Atau soal yang lebih besar daripada itu ialah siapakah yang mampu mendidik para pendik? Bagaimana keberkesan maktab-maktab perguruan atau universiti melahirkan murrabi? Apakah kelayakan yang seharusnya ada pada seorang murrabi? Apakah individu yang meletakkan profesyen guru sebagai pilihan terakhir dan menerimanya secara ‘terpaksa’ mampu menjadi murabbi yang dedikasi?
Secara ringkasnya, seorang murrabi ialah mereka yang benar-benar merasakan tugas mendidik itu ialah amanah daripada Allah. Dia sedar bahawa dia sedang memikul tugas warisan para nabi dan rasul khususnya nabi Muhammad SAW. Jika jurutera berdepan dengan bahan-bahan fizikal, doktor dengan sakit fizikal, peniaga dengan barang dagangan, pilot dengan kapalterbang… murrabi pula berdepan dengan jiwa, akal, nafsu dan perasaan manusia! Ini adalah sebab utama mengapa diutuskan para rasul ke dunia, yakni untuk menyeru, mendidik dan memimpin manusia. Bukan sahaja untuk sejahtera di dunia, tetapi juga di akhirat.
Soalnya, apakah kita sebagai guru, ibu-bapa dan pemimpin tidak kira di peringkat mana merasakan kita sedang menjunjung dan menyambung peranan para Rasul? Jika para Rasul berdepan dengan umat seluruhnya, kita hakikatnya sedang berdepan dengan anak-anak dan pelajar kita. Ya, tugas mendidik adalah untuk mereka yang berjiwa besar, benar, tulus, amanah dan jujur dalam melaksanakan misinya.
SUMBER : http://genta-rasa.com/
No comments:
Post a Comment