Pages

Sunday, June 19, 2011

Ucapan Aluan Pengetua Baru


Bismillahirahmanirrahim.
Assalamu'laikum warahmatullahi wabarakatuh.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, seluruh keluarga dan Para Sahabat Baginda.

Alhamdulillah syukur ke hadrat  Allah SWT kerana dengan Limpah dan Rahmatnya kita dipertemukan dalam sebuah organisasi yang besar ini.

Saya melihat  “Transformasi Pendidikan”  adalah agenda utama dalam sub-NKRA yang memberi  penekanan  untuk meningkatkan kecemerlangan kualiti murid.  Transformasi pendidikan secara menyeluruh  diperlukan bagi memperkasa modal  insan yang berkualiti bagi kecemerlangan pembangunan negara  di masa akan datang dan menghadapi cabaran global yang mengelilingi dunia pendidikan hari ini yang semakin kompleks dan mencabar.

Adalah menjadi tanggungjawab sekolah memastikan  transformasi pendidikan negara  peringkat sekolah dilaksana dengan berkesan agar modal insan yang dihasilkan mampu berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesai masalah, berkeupayaan mencipta dan mempelopori  teknologi baru, berdaya tahan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang bersifat dinamik.

Maksud ayat : 8(53-54) "..........Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dianugerahkan kepada sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada  pada diri mereka sendiri. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui........"

Setiap warga SMKPB  perlu menjana  transformasi  pendidikan sebagai agenda utama dalam merancang aktiviti dan program sekolah  bagi mengukir sejarah kecemerlangan diri melalui usaha,  pengetahuan, sikap, kecekalan , keberanian dan kesungguhan.

Langkah pertama transformasi :

Disiplin  kepentingan masa.  Allah bersumpah dalam surah 103(1-2): " Demi masa . Sesungguhnya manusia benar-benar  dalam kerugian..."  Memastikan setiap pelajar sentiasa membudayakan  kepentingan  masa  dan menepati masa.

Langkah kedua :
Memastikan setiap kehidupan pelajar mempunyai  matlamat  dan wawasan, sebagaimana kita sentiasa sebut dan  berdoa "Rabbana atina fiddun ya hasanah wa fil  akhirati hasanah wa qina azabannar". Jadi setiap pelajar mesti sebut dan ingat  akan wawasan dan hala tuju diri masing-masing, disusuli dengan perancangan dan strategi yang rapi.

Langkah ketiga:
Mengenali potensi diri dan kehebatan diri melalui ujian personaliti. Hilangkan inferior atau rendah diri bagi menonjolkan kehebatan personaliti  dengan memantapkan pengetahuan dan kemahiran melalui kreativiti dan anovasi.

Langkah keempat:
Mempunyai hati yang bersih seperti  taqwa, ikhlas, amanah dan  sentiasa memelihara hubungan silaturrahim sesama insan bagi membentuk “team work”  yang  padu bagi menjana  transformasi yang lebih berkesan.

Saya doakan agar semua pelajar  sedia menjana  transformasi diri agar  SMKPB  lulus 100%  bagi mencapai target  TOP 5 dalam prestasi kecemerlangan PMR dan SPM  manakala TOP 3  bagi STPM.

Saya juga berharap dapat merapatkan jurang perbezaan pengetahuan digital dan kemahiran ICT di kalangan warga SMKPB  melalui komunikasi  berkesan, pengajaran dan pembelajaran dalam kelas bagi menyediakan diri dalam kemahiran teknologi terkini. Program ini berkesan jika kemudahan infrastruktur ICT  dapat  digunakan secara optimam.

Selain daripada itu perkara utama yang menjadi masalah sekolah ini adalah sumber kewangan yang terhad  kerana  kos bahan  dan perkhidmatan yang semakin meningkat.  Saya berharap perkara ini boleh diatasi segera dengan kerjasama PIBG sekolah dan komuniti setempat bagi mengumpul dana untuk kecemerlangan sekolah.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wasssalamu 'Alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Datin Hjh Ezizah Hj Hashim, AMP
Pengetua SMK Paya Besar

No comments:

Post a Comment