Tanggal 27.06.2008 Hari Koperasi SMK Paya Besar telah dilancarkan pada pukul 7.40 pagi. Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Jamali bin Abdullah. Seterusnya acara dimulakan dengan ucapan daripada Pengetua SMK Paya Besar iaitu Pn. Hajjah Hatijah Gan binti Abdullah. Terdapat pelbagai perkara yang telah diperkatakan seperti matlamat koperasi sekolah yang memberi peluang secara langsung kepada pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah bekerja bersama-sama merancang dan melaksanakan kegiatan dengan tujuan mendapat manfaat bersama. Selain itu, terdapat beberapa objektif penubuhan koperasi sekolah antaranya ialah:
a) Mewujudkan kerjasama antara pelajar dan guru dalam melaksanakan pelbagai aktiviti.
b) Memupuk budaya keusahawanan di kalangan pelajar-pelajar sebagai pewaris dalam kepimpinan koperasi masa depan.
c) Melaksanakan pelbagai kegiatan berunsur ekonomi, pendidikan dan sosial yang menyemarakkan lagi budaya koperasi.
d) Memperkembangkan bakat dan potensi pelajar dalam aktiviti-aktiviti yang disertai.
Seterusnya acara diteruskan dengan bacaan perutusan YB. Menteri Pelajaran Malaysia oleh saudara Mohd Farid Bin Roslan dari tingkatan 6A1. Bacaan perutusan daripada YB. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi oleh Saudara Mohd Noradham Bin Mohamed dari 6A1 dan diteruskan dengan bacaan perutusan Yang Di-Pertua Angkasa telah disampaikan oleh saudara Mohd Faizzuddin Bin Fauzi dari 6A2.
Beberapa minit kemudian acara diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Tuan Haji Mohd Zahidi Bin Husain, PKC, PKT, AJK B4P & Pengerusi Jabatan Perhubungan Angkasa negeri Pahang Zon 1, Kuantan. Beliau menyampaikan rasionalnya penubuhan koperasi sekolah. Rasionalnya adalah untuk memberitahu kepada warga sekolah dan masyarakat setempat akan kewujudan koperasi sekolah dan peranan yang dimainkan untuk mendidik para pelajar supaya mempunyai jati diri yang murni selaras dengan prinsip, nilai dan amalan koperasi.
Perhimpunan pada pagi itu diakhiri dengan persembahan para pelajar. Antara persembahan yang diadakan ialah persembahan sajak, persembahan multimedia dan nyanyian lagu koperasi.
Selepas itu upacara menanam pokok di hadapan Makmal ICT sekolah. Semua guru terlibat dalam upacara tersebut. Upacara itu simbolik kepada bermulanya Hari Koperasi SMK Paya Besar bagi tahun 2008.
Disediakan oleh,
Sarina Binti Omar
5 Syumul 2008









No comments:
Post a Comment