Bismillahirahmanirrahim.
Assalamu'laikum warahmatullahi wabarakatuh.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, seluruh keluarga dan Para Sahabat Baginda.
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan Limpah dan Rahmatnya kita dipertemukan dalam sebuah organisasi yang besar ini.
Saya melihat “Transformasi Pendidikan” adalah agenda utama dalam sub-NKRA yang memberi penekanan untuk meningkatkan kecemerlangan kualiti murid. Transformasi pendidikan secara menyeluruh diperlukan bagi memperkasa modal insan yang berkualiti bagi kecemerlangan pembangunan negara di masa akan datang dan menghadapi cabaran global yang mengelilingi dunia pendidikan hari ini yang semakin kompleks dan mencabar.
Adalah menjadi tanggungjawab sekolah memastikan transformasi pendidikan negara peringkat sekolah dilaksana dengan berkesan agar modal insan yang dihasilkan mampu berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesai masalah, berkeupayaan mencipta dan mempelopori teknologi baru, berdaya tahan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang bersifat dinamik.
Maksud ayat : 8(53-54) "..........Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dianugerahkan kepada sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui........"
Setiap warga SMKPB perlu menjana transformasi pendidikan sebagai agenda utama dalam merancang aktiviti dan program sekolah bagi mengukir sejarah kecemerlangan diri melalui usaha, pengetahuan, sikap, kecekalan , keberanian dan kesungguhan.
Langkah pertama transformasi :
Disiplin kepentingan masa. Allah bersumpah dalam surah 103(1-2): " Demi masa . Sesungguhnya manusia benar-benar dalam kerugian..." Memastikan setiap pelajar sentiasa membudayakan kepentingan masa dan menepati masa.
Langkah kedua :
Memastikan setiap kehidupan pelajar mempunyai matlamat dan wawasan, sebagaimana kita sentiasa sebut dan berdoa "Rabbana atina fiddun ya hasanah wa fil akhirati hasanah wa qina azabannar". Jadi setiap pelajar mesti sebut dan ingat akan wawasan dan hala tuju diri masing-masing, disusuli dengan perancangan dan strategi yang rapi.
Langkah ketiga:
Mengenali potensi diri dan kehebatan diri melalui ujian personaliti. Hilangkan inferior atau rendah diri bagi menonjolkan kehebatan personaliti dengan memantapkan pengetahuan dan kemahiran melalui kreativiti dan anovasi.
Langkah keempat:
Mempunyai hati yang bersih seperti taqwa, ikhlas, amanah dan sentiasa memelihara hubungan silaturrahim sesama insan bagi membentuk “team work” yang padu bagi menjana transformasi yang lebih berkesan.
Saya doakan agar semua pelajar sedia menjana transformasi diri agar SMKPB lulus 100% bagi mencapai target TOP 5 dalam prestasi kecemerlangan PMR dan SPM manakala TOP 3 bagi STPM.
Saya juga berharap dapat merapatkan jurang perbezaan pengetahuan digital dan kemahiran ICT di kalangan warga SMKPB melalui komunikasi berkesan, pengajaran dan pembelajaran dalam kelas bagi menyediakan diri dalam kemahiran teknologi terkini. Program ini berkesan jika kemudahan infrastruktur ICT dapat digunakan secara optimam.
Selain daripada itu perkara utama yang menjadi masalah sekolah ini adalah sumber kewangan yang terhad kerana kos bahan dan perkhidmatan yang semakin meningkat. Saya berharap perkara ini boleh diatasi segera dengan kerjasama PIBG sekolah dan komuniti setempat bagi mengumpul dana untuk kecemerlangan sekolah.
Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wasssalamu 'Alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Datin Hjh Ezizah Hj Hashim, AMP
Pengetua SMK Paya Besar
No comments:
Post a Comment