Majlis Ilmu tengahari ini telah disempurnakan oleh Ustazah Ramlah bt Abdul Hamid. Beliau telah membicarakan tentang Iktibar dari Peristiwa Isra' dan Mi'raj.
Pengenalan.
Isra' dan Mi'raj adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam. Peristiwa ini disambut pada setiap tahun dalam bulan Rejab. Mengikut pendapat ia berlaku pada malam Isnin 27 Rejab kira-kira satu setengah tahun sebelum hijrah nabi ke Madinah. Ketika usia baginda 52 tahun.
Pengertian Isra' dan Mi'raj.
Isra' bermaksud perjalanan Nabi Muhammad saw pada waktu malam dari masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis Palestin. Dari sini Nabi Muhammad saw di mi'rajkan ke Sidratul Muntaha dan seterusnya tempat paling tinggi iaitu Hadziratul Quds dan disinilah nabi menerima perintah solat.
Mengapa Isra' dan Mi'raj berlaku.
Ia adalah satu mukjizat yang dikurniakan Allah swt kepada Nabi Muhammad saw kerana ia berlaku di saat Rasulullah saw sedang menghadapi keadaan kritikal dalam hidupnya. Antaranya kematian dua orang yang sangat berjasa dalam hidupnya iaitu isterinya dan bapa saudaranya Abu Talib. Hikmah kejadian ini adalah untuk menghilangkan dukacita Rasulullah saw dengan mengundangnya menemui Allah swt, juga untuk memaparkan tanda-tanda kekuasaanNya dan mengukuhkan lagi keimanan dan keyakinan Rasulullah saw terhadap tugasnya sebagai Rasul.
Beberapa gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad saw ketika diisra'kan.
1. Jin Afrid membawa obor dan mengejar nabi dari arah belakang dengan tujuan untuk merintangi perjalanannya.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Setiap usaha ke arah menegakkan agama dan kebaikan akan mendapat halangan dan ujian.
- Musuh utama manusia adalah syaitan yang telah berikrar untuk menyesatkan umat Islam.
2. Petani bercucuk tanam dan dapat memungut hasilnya dengan kadar segera tanpa berhenti-henti.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Allah swt mengurniakan pahala yang berlipat kali ganda bagi orang yang berjihad pada jalannya dan suka bersedekah.
- Allah swt tidak akan mempersiakan orang yang melakukan kebajikan. Mereka akan diberi balasan yang setimpal.
3. Bau wangi tukang sisir rambut anak Firaun (Masyitah) dan anaknya.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Keimanan yang teguh merupakan perisai utama untuk menghadapi sebarang ujian dan cabaran.
- Allah swt mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda kepada mereka yang berani mempertahankan keimanan dihadapan pemerintah yang zalim.
4. Manusia memecahkan kepadanya dengan batu.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Balasan berat bagi orang yang berat atau malas untuk solat.
- Solat ibadat yang wajib diutamakan oleh orang Islam.
5. Manusia makan duri dari bara api.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Orang yang tidak mengeluarkan zakat akan dikenakan balasan yang dahsyat di akhirat kelak.
- Zakat adalah perisai untuk menyelamatkan manusia dari seksaan alam barzakh dan di akhirat.
6. Manusia makan daging busuk.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Perbuatan zina adalah satu dari dosa besar yang dikutuk dan dikenakan azab pedih di akhirat kelak.
- Zina merosakkan institusi masyarakat.
7. Manusia berenang dalam lautan darah dan dibaling dengan batu.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Amalan riba dilarang keras dalam Islam kerana ia adalah satu penindasan dan kezaliman dalam masyarakat.
- Mereka yang mengamalkan riba samada pemberi atau penerima akan menerima seksaan dari Allah swt kelak.
8. Kayu berduri yang mengait orang lalu.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Mereka yang suka menganggu orang yang membuat kebaikan atau menganggu orang yang lalu lalang dijalan akan dibalas dengan seksaan yang pedih.
- Islam mengalakkan setiap muslim agar menjaga ketenteraman dan mewujudkan perdamaian.
9. Manusia yang tidak mempu mengangkat beban yang dipikul tapi terus ditambah bebanannya. Iktibar dari peritiwa ini :
- Balasan dahsyat bagi orang yang suka memikul dan menerima amanah tetapi tidak sanggup melaksanakannya.
- Amanah adalah tanggungjawab yang mesti ditunaikan.
10. Manusia yang mengunting lidah dengan gunting dari api neraka setelah gunting bercantum semula.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Islam mengutuk orang yang hanya tahu bercakap tapi tidak melaksanakan apa yang diucapkan.
- Setiap muslim hendaklah bercakap benar dan tidak berdusta.
11. Manusia yang mencakar muka dan dadanya dengan kuku tembaga.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Mengumpat adalah satu dosa besar dan ia wajib dijauhi.
- Setiap Muslim mesti berwaspada dan mengawal dirinya dari terlibat dalam budaya mengumpat dan kata mengata yang akhirya akan merosakkan hubungan kemasyarakatan.
12. Lembu yang berbadan besar keluar dari lubang yang sempit dan bersusah payah hendak masuk semula ke dalam lubang yang sempit itu.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Sikap angkuh dan sombong adalah ditegah oleh Islam.
- Sifat tersebut memutuskan silaturrahim.
13. Mendengar panggilan daripada sebelah kanan (panggilan Yahudi) dan panggilan daripada sebelah kiri (panggilan Nasrani).
Iktibar dari peritiwa ini :
- Yahudi dan Nasrani adalah musuh tradisi orang-orang Islam.
- Golongan ini sentiasa berusaha dan membuat perancangan utnuk menghancurkan Islam dan umatnya.
14. Suara panggilan wanita yang sangat cantik dengan penuh perhiasan di tubuhnya.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Kemewahan dunia digambarkan dengan wanita yang cantik dan penuh perhiasan yang boleh menggoda dan melalaikan manusia daripada melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di dunia ini.
- Wanita yang tidak mempunyai kemantapan akidah akan diperalatkan oleh golongan tertentu untuk merosakkan masyarakat.
- Setiap wanita mesti menjaga kehormatan dan kemuliaan dirinya.
15. Orang tua yang menghalang ditengah jalan untuk mengemukakan pertanyaan kepada Rasulullah saw.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Iblis sentiasa berusaha dan tidak pernah mengenal penat lelah dan putus asa untuk menggoda manusia dengan pelbagai cara.
- Setiap muslim mesti mengawasi diri dari tipu daya iblis dan bersikap istiqamah dalam melaksanakan ibadat agar dapat menyekat dari godaan syaitan.
16. Perempuan terlalu tua (sudah bongkok) memanggil Rasulullah saw untuk bertanya.
Iktibar dari peritiwa ini :
- Umur dunia ini sudah terlalu tua dan akan tiba masanya mengalami kehancuran (kiamat)
- Setiap muslim mesti memanfaatkan setiap detik usianya untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.
Pengajaran dari peristiwa Isra' dan Mi'raj.
1. Peristiwa ini membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah swt. Allah swt mengundang Rasulullah saw untuk melihat dan menyampaikannya kepada umatnya.
2. Peristiwa ini mempunyai kaitan yang amat erat dengan soal akidah. Ia menguji keimanan kita secara tidak langsung kerana ia adalah perkara Sam'iyat.
3. Gambaran yang dilihat Rasulullah saw adalah gambaran kehidupan manusia di dunia ini. Siapa yang melaksanakan amalan seperti solat, jihad, infak, amanah dan sifat mahmudah lain akan mendapat ganajaran sebaiknya dari Allah swt. Begitu juga sebaliknya.
4. Setiap muslim mesti sentiasa dalam keadaan waspada untuk menyelamatkan dirinya dari godaan syaitan.
5. Solat adalah kemuncak segala ibadah.
Disediakan oleh : Pn Ramlah Ab Hamid
Moga kita semua mendapat iktibar. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment