Sempena Minggu Sains & Matematik yang berlangsung selama seminggu bermula dari 16 Jun - 20 Jun 2008. Pelajar dari kelas 5 Saksama telah mengikuti lawatan ke UIA Kuantan, Pahang. Lawatan ini berlansung selama 2 jam pada hari Rabu bersamaan 18 Jun 2008. Seramai 33 orang pelajar telah terlibat dalam lawatan ini yang diiringi oleh dua orang guru iaitu Pn. Haniliza binti Sulaiman & En. Mohamad Amran bin Mahussin.
Rasionalnya lawatan ini diadakan untuk menaikkan semangat pelajar-pelajar aliran sains SMK Paya Besar dan menanam cita-cita untuk menjejakkan kaki dan menyambung pelajaran di sana. Seterusnya, pelajar dapat merasai cara dan suasana belajar di UIA. Selain itu, kami turut didedahkan dengan program pengajian yang ditawarkan di sana.
Sebelum bertolak ke UIA, para pelajar diminta berkumpul di hadapan dewan AL-Multaqa SMK Paya Besar pada pukul 11.15 pagi untuk memastikan semua pelajar yang hadir menyerahkan borang kebenaran. Kemudian guru yang mengiringi kami. Pn. Haniliza telah memberikan taklimat ringkas dan meminta pelajar menjaga tingkah laku & nama baik sekolah. Kami bertolak ke UIA pada pukul 11.30 pagi. Perjalanan kami memakan masa selama hampir setengah jam. Kami tiba di UIA kira-kira jam 12 tengah hari.
Ketibaan kami disambut Pn. Haryati iaitu salah seorang fasilitator di UIA. Beliau terus membawa kami ke Muzium Perubatan dan menceritakan sedikit sebanyak tentang sejarah UIA serta mendedahkan kami kepada program-program pengajian yang ada di sana secara terperinci. Menurut beliau UIA Kuantan merupakan institusi pengajian islam yang terbesar dan mempunyai enam fakulti atau dikenali sebagai kulliyyah.
Selepas itu, Pn. Haryati menyerahkan majlis itu kepada En. Elzmil iaitu salah seorang pegawai di muzium tersebut. Beliau telah menerangkan tentang spesimen-spesimen yang ada di dalam muzium tersebut. Beliau juga telah menceritakan satu persatu bagaimana mereka menjalankan proses viariest cardivest. Daripada maklumat yang disampaikan, kami memperolehi banyak ilmu baru. Setelah selesai sesi penerangan, kami diberi masa selama 30 minit untuk melihat spesimen yang ada. Pelbagai respon dan pertanyaan yang keluar dari bibir bakal-bakal doktor SMK Paya Besar. Selepas itu, kami dibawa masuk ke bilik mayat dan diberi penerangan mengenai mayat-mayat yang diterima untuk dijadikan bahan uji kaji untuk pelajar perubatan. Kami berasa sedikit kecewa kerana tidak dapat masuk ke bilik SPA yang mengandungi mayat dan alat-alat pengawetan.
Setelah 10 minit berlalu, kami kembali ke muzium dan sesi soal jawab berlangsung untuk menguji kepekaan kami semasa penerangan diberikan. Lima orang pelajar telah diberikan cenderamata kerana berjaya menjawab soalan yang dikemukakan dengan betul. Tepat jam 2 petang, sesi lawatan kami tamat. Kami pulang dengan gembira dan harapan yang menggunung untuk menjejakkan kaki ke sana lagi sebagai salah seorang pelajar UIA.
Lawatan tersebut berjalan lancar dan mendapat kerjasama yang jitu daripada semua pihak. Objektif lawatan yang dirangcang berjaya dicapai. Adalah diharapkan lawatan seperti ini dapat diadakan dengan lebih kerap pada masa hadapan.
Laporan disediakan oleh,
FATIMAH HANIM BINTI MOHD LAZIM
(PELAJAR 5 SAKSAMA)
1 comment:
minggu ini merupakan minggu yang sgt memberi byk faedah kpd sy...lawatan ke uia mmg sesuatu yg amat mengembirakan...semoga suatu ari nti sy dpt msk ke bilik spa..(bilik mayat)..thanks to bro elzmil yg beri byk ilmu kpd kami, dan kpd sume guru yg menjayakan lawatan ni.
Post a Comment